Sahabat yang dirahmati Allah,
Hasad dengki adalah satu sifat mazmumah
yang dibenci oleh Allah S.W.T. Sesiapa yang ada sifat ini sebenarnya ia
tidak meredai ketentuan Allah S.W.T yang telah dikurniakan sesuatu
kelebihan atau nikmat kepada seseorang dikalangan hamba-hamba-Nya.
Terdapat tiga ciri sekiranya ada pada diri seseorang ia mempunyai penyakit hasad dengki.
1. Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
2. Seseorang yang bersifat dengki tidak
ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang
lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik.
Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah
subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
3. Orang yang berperangai seperti itu
juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain
yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana
dan kerosakan.
Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan
Imam Al-Ghazali ada disimpulkan tujuh faktor yang menimbulkan perasaan
hasad dengki tersebut.
Antara lain :-
1) Perasaan Permusuhan dan Kebencian
2) Merasa Diri Mulia
3) Takabbur
4) Ujub
5) Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan
6) Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti
7) Busuk Hati.
Huraian faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut.
PERASAAN PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN
Ini adalah sebab yang paling banyak
menimbulkan kedengkian. Kerana sesiapa yang disakiti oleh seseorang lain
atas sebab-sebab tertentu atau menyangkalnya dalam tujuan-tujuan
tertentu lantaran alasan-alasan tertentu, hatinya pasti marah lalu
membenci orang yang menyakitinya itu, maka tertanamlah bibit dengki
dalam dirinya. Dengki mengundang perlakuan yang agresif untuk memuaskan
hatinya.
Pendekkata perasaan hasad dengki
sentiasa bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan. Semua
manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah
satu tabiat manusia. maka agama tidak melarang marah, tetapi kita
diperintahkan untuk dapat mengendalikan marah dan senantiasa menjadi
pema’af.
Fiirman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan
pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A’raaf ayat 199)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat
mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar
ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa
memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)”
(Hadis Riwayat Baihaqi)
MERASA DIRI MULIA
Perasaan ini manifestasinya ialah
seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya
mengatasi dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya.
Kalau ada orang –orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa,
ilmu dan harta, dia bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap
sombong terhadapnya. Dia tidak boleh tahan dengan sikap mengatasi yang
ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah dia tidak boleh menerima apa yang
dirasakannya sebagai sikap mengatasinya.
TAKABBUR
Jelasnya seorang itu mempunyai watak
membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan
mempergunakan seseorang untuk kepentingan dirinya. Ia menganggarkan
seseorang itu mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau
memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak lagi
merelakan diri untuk mengikut arahannya. Akhirnya orang yang telah
mendapat kurnia tersebut akan enggan mengikutinya, atau boleh jadi ia
menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.
Allah S.W.T. berfirman (di dalam Hadis
Qudsi) : “Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu.
Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti
Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi.”
Apabila kita meneliti maksud hadis ini,
ia dengan jelas menyatakan bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya
milik Allah s.w.t. semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih
boleh timbul di dalam hati manusia?
Sebenarnya, perasaan sombong atau
takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang
lain dengan pandangan yang kecil dan hina.
UJUB (BANGGA DIRI)
Terdapat tiga ciri-ciri ujub iaitu :
a. Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
b. Orang yang bersifat ‘ujub adalah
orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang
yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau
sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan
sebagaimana yang dia lakukan.
c. Dengan itu, maka timbullah perasaan
menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap
sesuatu itu ada kelebihannya.
Pernah Allah Subhanahu Wata’ala
jelaskan kepada kita perihal umat-umat di zaman silam. Mereka merasa
takjub dengan diri mereka sendiri. Hal ini menghalang mereka menurut
kebenaran. Hujjah mereka selalunya ialah seperti yang tertera di dalam
Al-Quran :-
“Bukankah kamu tak lebih dari manusia(biasa) seperti kami juga?”
Dan ungkapan yang berbunyi: “Dan mereka berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti kami juga?”
Golongan tersebut merasa aneh melihat
orang yang berjaya mendapat pangkat kerasulan, menerima wahyu dan
martabat yang dekat di sisi Allah Subhanuahu Wata’ala ialah manusia
seperti mereka. Sebab itu mereka menaruh rasa dengki kepada Rasul-Rasul
tersebut.
TAKUT TERLEPAS SESUATU TUJUAN DAN HABUAN
Biasanya perasaan ini wujud dalam
kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Tiap
orang akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat
suatu kelebihan yang boleh membantu dirinya sahaja membolot habuan yang
menjadi tujuan mereka tadi.
GHAIRAH MENJADI KETUA DAN MENCARI POPULARITI
Umpamanya seseorang yang bercita-cita
untuk menjadi manusia pertama yang tidak ada tolok bandingnya dalam
salah satu cabang seni. Apabila keghairahan terhadap pujian dan jolokan –
bahawa dialah satu-satunya pakar yang tidak ada taranya di zaman itu –
telah menguasai dirinya, tiba-tiba dia mendengar ada orang lain yang
dapat menandinginya di tempat lain. Hal ini nescaya akan menyusahkan
hati perutnya. Ia bercita-cita kalau tandinganya itu mati sahaja atau
kemahirannya menurun dan pupus.
BUSUSK HATI
Keadaan ini kalau ada pada seseorang
maka ia akan bersikap tidak suka sesuatu kebaikan diperolehi oleh hamba
Allah yang lain. Apabila disebutkan dihadapannya tentang kesenangan
mana-mana hamba Allah, sempit hatinya mendengar perihal tersebut. Akan
tetapi apabila dinyatakan pula sebaliknya, umpama tentang kesusahan,
kegagalan dan nasib malang menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan
suka hati.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita buangkan sifat
hasad dengki ini samaada di dalam hati atau di dalam tindakkan dan
amalan kita. Sifat yang keji ini bukan saja mendapat kebencian manusia
tetapi yang paling penting sifat ini di benci oleh Allah S.W.T. Hidup di
dunia ini adalah sementara dan kehidupan di hari akhirat adalah
kehidupan yang kekal abadi maka tinggalkanlah sifat hasad dengki ini
kerana sesiapa yang menuruti sifat ini dia sedang mengikut hawa nafsunya
dan mengikut bisikan syaiatan dan akan mendapat azab seksaan dihari
akhirat nanti.
0 comments :
Post a Comment